D/A PEJABAT PENDIDIKAN DAERAH LIMBANG, TINGKAT 1, WISMA PERSEKUTUAN, JALAN MUHIBBAH, 98700 LIMBANG, SARAWAK.

Thursday, 29 January 2015

On 23:58 by skbatudanau   No comments
SEJARAH SEKOLAH

     Sekolah Rendah Kerajaan Batu Danau, Limbang, Sarawak mula ditubuhkan pada bulan Januari 1950. Pada mulanya sekolah ini tidak ada bangunan khas, hanya sebuah pondok bekas tinggal seorang pekebun Cina bernama Hong Hin yang telah lari dari Brunei dan Limbang telah meminjam tanah yang ada sekarang ini dan membuat kebun semasa Jepun. Apabila perang Dunia Kedua tamat, orang-orang Cina ini balik ke tempat kediaman asal mereka kecuali Tadui yang masih tinggal di Danau.

     Pondok tersebut dibuat daripada kayu, buluh dan atap rumbia (sago). Di pondok inilah mulanya dibuat kelas untuk mengajar murid, sementara menunggu sekolah yang baru. Murid-murid duduk di atas papan panjang sebagai bangku. Meja untuk menulis juga dibuat daripada papan secara gotong-royong. Bilangan murid pada masa itu hanya kira-kira 20 orang termasuk tiga orang murid perempuan. Bilangan kelas hanya ada satu iaitu Darjah 1. Matapelajaran yang diajar ialah Bahasa Inggeris dan Ilmu Hisab. Guru hanya seorang. Dia juga seorang guru besar. Guru ini adalah lepasan Maktab Perguruan Batu Lintang, Kuching, Sarawak pada tahun 1948.

     Pada pertengahan 1950, bangunaan sekolah yang baru telah dibina secara kerja gotong-royong oleh penduduk dari kampung Danau, Lembuak, Medait dan Bidang. Bangunan baru sekolah ini didirikan di atas sebidang 'Tanah Waris' yang diberi percuma, seluas 4.7 ekar. Mereka yang mengizinkan tanah ini digunakan untuk tapak sekolah ialah Encik Kasoh ak Kitan dan Encik Pida ak Binting. Tanah tersebut adalah waris daripada Datu Temenggung Langgar ak Rimpang dari kampung Danau, Limbang, Sarawak.

     Sekolah ini dibina bertiangkan belian, dinding daun rumbia. Setelah siap pada tahun yang sama maka guru dan murid pun berpindah ke bangunan yang baru. Bangku dan meja untuk pelajar dibuat oleh ibubapa. Bilangan kelas bertambah dari darjah 1 hingga darjah 2. Bilangan murid dan guru juga bertambah dari tahun ke tahun. Bangunan yang sedia ada sudah tidak cukup mencukupi untuk menanggung bilangan murid. Ketua-ketua masyarakat serta penduduk-penduduk kampung memohon jasa baik kerajaan (Majlis Daerah Limbang) supaya membina bangunan sekolah yang baru. Pada tahun 1959 bangunan sekolah yang lama telah dirobohkan. Bangunan baru dibina. Guru-guru dan murid-murid berpindah ke sebuah bekas kedai Cina yang berdekatan sementara menunggu bangunan baru siap.

     Pada tahun 1960 bangunan sekolah yang baru siap. Bangunan ini diperbuat daripada tiang belian, dinding papan, lantai papan, tingkat bawah berlantaikan simen dan beratapkan belian. Guru-guru dan murid-murid berpindah. Bilangan kelas bertambah dari darjah 1 hingga darjah 6. Tenaga pengajarnya juga bertambah. Bagi mengatasi masalah ini pada 1981 kerajaan membina satu lagi bangunan sekolah baru dua tingkat. Bangunan tersebut cukup menampung bilangan murid yang ramai.

     Pada bulan Januari 1982, guru-guru dan murid-murid telah berpindah ke bangunan sekolah yang baru. Bangunan sekolah yang lama dijadikan asrama hingga sekarang. Nama asal SK Batu Danau ialah Sekolah Dato Orang Kaya Pemanca Raman, nama seorang tokoh Bisaya pada zaman pemerintahan Sultan Brunei. Nama itu telah ditukar kepada nama yang baru iaitu SK Batu Danau, Limbang.


PETEMPATAN SEKOLAH

     Sekolah Kebangsaan Batu Danau, Limbang terletak di kawasan pedalaman berdekatan dengan sungai Limbang. Jaraknya 35km dari Bandar Limbang. Boleh didatangi melalui jalan raya dan sungai. Sekolah ini mempunyai keluasan kawasan 4.7 ekar dan tidak lagi dapat menampung projek-projek pembangunan baru. Walaubagaimanapun, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak telah berusaha untuk mendapatkan tanah kerajaan negeri dan persendirian yang bersempadan dengan sekolah dengan keluasan 4 ekar untuk projek-projek pembangunan baru. Sekolah ini mendapat bekalan elektrik dari SESCO dan punca air dari LAKU.

0 comments:

Post a Comment